ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU
1. IKHLAS NIAT – Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan
niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari
habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi
amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi
mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa
memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas
di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang
berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita
terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan
kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada
kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam
melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada
keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin
semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi
sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana
sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu
sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud
firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :.........Dan ketahuilah
bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah
kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang
berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang
beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang
benar-benar ikhlas.
2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL -
Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan
dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku
pengajian. Ini dapat diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang
kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama yang berbahasa
Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita
kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti
Allah akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5
surah as-Sof yang bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata
kepada kaumnya :"Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu
mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?". Maka tatkala
mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka
dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini
walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal
hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran
daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling
terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi
dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan
perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah
mencontohi ulama'-ulama' silam yang mana mereka belajar dalam keadaan
susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana
belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya
perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah
bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik
kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu
berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah
ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.
3. MENJAUHI
MAKSIAT – Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar
dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada.
Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita
perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa.
Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita
dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya.Jangan sekali-kali kita
membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu
mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara maksiat ini
yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar
lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti
maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta
pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu
perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya
menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan
lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat
berterusan akan menjadi dosa besar.
4. MEMILIH TEMAN YANG
SOLEH - Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan
cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di
dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab
atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim
pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan
soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan
keberkatan kita turut sama memperolehinya. Disamping itu apabila kita
sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta
menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan
mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita
dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang
tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat
kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara
hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang
bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi
musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa.
Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang
diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut
agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah
yang dijadikan teman.
5. BANYAKKAN ZIKRULLAH – Pastikan
kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid
serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi begitu
menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati
yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan
diri dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat
boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh
mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah
diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita
melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa
diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya
sehelai setiap hari kerana ia merupakan ibu segala ubat. Hidupkan
amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita seharian kerana hidup
yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan diredhai
oleh Allah dan makhluk-Nya.
6. MENJAGA KEHORMATAN- Kita
wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala
ke'aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan Allah
dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya
dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan
kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh
daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang
baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana
doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman
Allah dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang
yang beriman! jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya
sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari
kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat
sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan
daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Penerima taubat lagi Maha Penyayang.
7. DOA DAN
KEREDHAAN IBUBAPA- Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua
ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi
syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat
tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan
akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita
dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung
kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23
hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah
memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu
berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah
seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka
dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada
keduanya dengan perkataan "uf" dan janganlah kamu menghertak mereka dan
ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu
terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : " Wahai
Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah
mendidikku semasa kecil".
8. MENGHORMATI GURU- Kita juga
wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak
menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah
atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam
As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat
ab'adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak
melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam
Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya
ulama' silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan
kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan
timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan
remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau
di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia
pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati
walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang
dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan
dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih
sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya
ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama
membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia
mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara
negatif dalam kehidupan.
9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG
DIPEROLEHI - Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana
yang termampu oleh kita. Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita bahawa
orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke
dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah
ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah
maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan
serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di
dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan
jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang
sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana
melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah
merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus
mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis
tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala
apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati
mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan
akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan
tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam
kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu
melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam
ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang
beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar
kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak
kamu kotakan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar